KIFLI-Anis Utopia
KIFLI sudah tidak gentar lagi dengan herdik emaknya.
Dia mengerang, dan tengkingan emaknya datang segera. Telinganya sudah lali dengan tengkingan perempuan itu. Biar dia tengking sepuluh kali, dua puluh kali, atau tiga puluh kali, tapi Kifli tidak akan merasakan kesannya tengkingan itu lagi. Tengkingan itu sudah menjadi tepukan dan belaian baginya.
Kifli menarik lututnya rapat di dada. Matanya dipejam erat-erat. Apa guna bangun pagi-pagi? Bukan ada sarapan apa-apa. Tidak ada ubi rebus. Tidak ada pulut kukus.
Kata Zaiton, anak polis sarjan yang berambut kerinting dan bergigi halus itu, dia makan roti canai cecah sambal tumis. Meleleh air liurnya apabila Zaiton menceritakan dia makan dengan lahapnya beberapa pagi dulu.
Kalau dia bangun sekarang, roti canai, jemput-jemput dan lempeng pun tidak ada. Untuk apa bangun awal-awal kalau hanya untuk menanggung perut yang menderita kelaparan? Ah, mengarut. Bodoh kalau mahu bangun pagi-pagi dan kemudian mmendengar perutnya menyanyi minta diisi. Baik tidur lagi, sedap-sedap, lagi bagus. Emak tidak menengking lagi. Dia merasakan telinganya bingar sedikit-sedikit. Tapi itu perkara biasa. Sekejap lagi akan hilanglah rasa sakitnya itu. Apabila dibawa berenang di anak sungai itu nanti, tentu tidak akan rasa bingar lagi. Esok? Esok lain cerita.
Kifli tersengih. Memang seronok berenang dengan kawan-kawan. Kena pula waktu tengah hari. Aduh sedapnya. Panas-penas begitu memang sedap kalau tanggal baju, tanggal seluar dan terus terjun ke air kuning keruh itu. Apabila menyelam, cari kaki Sulung, kemudian tarik.sulung terkapar-kapar. Memang Sulung selalu terkena.
Terbeliak mata kifli. Dia mesti cepat bangun dan cepat ke sekolah. Dia mengangkat badannya dan terus terduduk. Ikan yang ditangguknya di sawah Ngah Bakar mahu dihantarnya segera ke sekolah.
Ngah Bakar langsung tidak kata apa-apa apabila ternampak dia menengok tangguknya. Mula-mula cemas juga dia apabila ternampak Ngah Bakar yang bermisai tanduk kerbau itu menghampirinya. Selalunya dia tangguk ikan untuk di buat lauk. Tapi semalam dia tangguk ikan untuk dibawa ke sekolah.
Berdebar-debar juga dia apabila Ngah Bakar menanyakan kalau-kalau dia dapat ikan. Janganlah tanya apa-apa lagi, minta hatinya.
Tentu Ngah Bakar mengamuk jika diketahuinya yang dia hendak membawa ikan itu ke sekolah. Kata cikgu, dia mesti bawa ikan ke sekolah sebab rumahnya dekat dengan sawah. Sulung bawa benih jagung sebab emaknya ada tanam jagung barang suku ekar. Zaiton pula berjanji mahu bawa gambar-gambar burung sebab dia ada banyak majalah bergambar burung.
Kifli mengenakan butang seluarnya. Dua biji butang sudah tertanggal, tetapi cikgu tidak marah. Kata cikgu, kalau nak datang sekolah, datanglah untuk belajar.
Dia bukan tidak mahu belajar. Mahu. Tapi dia segan dengan kawan-kawan lain. Dia orang datang dengan baju putih, seluar biru. Cuma dia, Sulung , Tamin, Japar dan Jaludin yang berpakaian serembah-serembih. Sulung dengan gigi kuningnya dan rambut kering macam lalang kena racun. Tamin dengan seluar besar labuhnya yang diwarisi; entah berapa zaman. Japar berkaki ayam dengan kuku panjang hitam berdaki dan seluar yang bertampal-tampal. Dan Jaludin yang berbau hapak dengan baju yang tidak menentu warnanya lagi.
Tapi cikgu lansung tidak marah dia dengan baju panas hijau yang sudah luntur warna berserta dengan seluar tertanggal dua butang apabila dia datang ke kelas.
Cikgu baru ini tidak suruh pun dia beli baju kemeja putih dan seluar biru untuk ke sekolah. Cikgu-cikgu dulu naik mual menyuruhnya membeli baju baru dan seluar baru. Mahu sarapan pagi pun tak mampu, apalagi mahu beli pakaian sekolah.
Apabila cikgu marah-marah lalu menyuruhnya memberitahu bapanya supaya belikan baju sekolah, dia pun tidak datang ke sekolah empat lima hari. Dia takut pergi sekolah. Takut selalu kena tengking, kena caci. Malu dibuat begitu.
Tapi cikgu baru ini tidak macam cikgu-cikgu dulu. Dua hari selepas Sulung memberitahunya ada cikgu baru mengajar di kelasnya, dia pun ingin benar hendak melihat wajah cigu baru itu. Biasanya cikgu-cikgu memang tidak kekal mengajar di kelasnya. Jaludin dengan Japar selalu bertumbuk. Sulung dengan entah berapa orang lagi sehuruf pun tidak kenal. Tamin pula dengan kesukaan menyakat budak-budak perempuan yang tekun tunduk menulis.
Dia datang apabila matahari dah tegak. Mula-mula dia terhendap-hendap di pintu, mahu intai cikgu baru. Jaludin pula nampak dan meneriaknya, suruh masuk. Cikgu baru itu sudah menoleh. Kakinya tidak boleh lari. Cikgu itu menanyakan sesuatu pada Jaludin, kemudian Jaludin memanggilnya masuk.
“Marilah masuk.”
Langsung tidak ada tanda marah pada suara cikgu itu. Dan kata cikgu lagi, dia sedang mengajar nyanyian dan sekejap lagi mahu diajaknya budak-budak kelas itu duduk-duduk menyanyi di bawah pokok kelapa sawit di tepi padang sekolah.
Dia terkelip-kelip masuk ke kelas. Segan ada, malu pun ada.
“Duduklah barang di mana yang Kifli suka. Ha, duduk.”
Kenapa cikgu tidak marah, kerana selama ini dia tidak hadir ke kelas? Marah pun tidak. Kenapa? Ada denda lain agaknya? Kifli mengelamun sendirian.
Dia tengok keliling. Macam-macam gambar terbentang di dinding. Cantik-cantik. Menarik lukisan Japar, dia pernah kata begitu, kini sudah pun diletakkan ke dinding, pun ada di situ. Bukan main megah lagi Japar apabila dia menceritakan yang cikgu memilih lukisannya gambar sawah padi yang terbentang menjadi hiasan dinding. Japar bukannya pandai melukis sangat. Conteng-conteng saja.
Biasanya lukisan Zaiton dan Fatimah dan Rokiah yang selalu dilekatkan di dinding. Budak-budak perempuan itu memang cermat apabila melukis.
Agaknya cikgu baru ini memang tidak pandai marah, Japar dengan Jaludin bertumbuk pun dia tidak marah. Dia Cuma tanya baik-baik kenapa mereka bertumbuk. Kemudian entah macam mana dia bercerita fasal Muhammad Ali yang jadi juara tinju itu. Seronok juga dengar kisah macam mana Muhammad Ali jadi juara tinju. Masa Muhammad Ali lawan dengan entah siapa nama orang putih itu dulu, dia sama-sama Sulung. Jaludin dan Seman menumpang tengok tv di kedai dekat pekan. Dapat tengok celah-celah pintu pun cukuplah.
Japar dengan Jaludin melopong mendengar cerita cikgu. Kisah bertumbuk pun hilang. Kalau dulu, tentu Japar dengan Jaludin kena sebat dengan rotan. Pedih punggung apabila kena sebat berkali-kali.
Belum sempat dia hendak melompat turun ke tanah, rambutnya di tarik dari belakang.
“Jangan tahu nak berambus saja. Pergi ambil upah panjat kelapa dulu. Upahnya belikan beras dengan ikan kering.”
Benci benar dia mendengar suara kejang kaku menengking herdik itu. Tidak macam suara cikgu yang lembut itu.
Rasanya mahu dia menentang perempuan yang dipanggilnya emak itu. Tapi dia ingat benar apa kata cikgu yang baru itu. Kita mesti sayang pada emak. Mesti menghormati emak. Mesti jaga hati emak. Tidak boleh tengking emak. Tidak boleh lawan emak. Kerana emaklah kita boleh menengok dunia yang indah ini.
Mula-mula dia mahu ketawakan apa yang dikatakan oleh cikgu. Tapi terlihat muka cikgu, dia tidak jadi ketawa. Tapi macam mana hendak sayangkan emak kalau emak paksa dia bangun pagi-pagi ambil upah panjat kelapa? Dia lapar. Dia mahu makan. Makan roti canai, kalau boleh. Kalau tidak ada roti canai, kuih jemput-jemput pun jadilah.
“Kifli, kau jangan merayau ke lain tempat. Buat apa yang aku suruh, tahu?” inunya membentak.
Ah, bosan betul dia mendengar suara itu. Kalaulah suara itu boelh bertukar menjadi lemah-lembut, bukankah lebih baik? Fikir si Kifli.
Kifli berjalan sambil menyepak-nyepak sampah. Kaki ayamnya mula bersalut dengan lumpur. Tapi tidak dipedulikannya kerana sudah jadi perkara biasa. Memang kakinya sentiasa bersalaut dengan lumur, lalang kering, air sungai dan macam-macam lagi yang menyinggah di kakinya semasa berjalan.
Dan cikgu tidak marah apabila tengok kakinya dalam keadaan begitu. Paling tidak cikgu cuma menyuruh dia membasuhnya di anak sungai di belakang sekolah. Tapi apabila dah ditenyeh-tenyeh kaki itu jadi bersih, kaki itu akan kotor semula dengan lumpur apabila dia kembali dari sekolah.
Kadang-kadang dia berasa malu dengan kekotoran di badannya. Dia mahu bersih macam Zaiton, macam Rokiah. Tapi Rokiah duduk di rumah berek, bapanya sarjan polis. Rumah Rokiah pun besar juga. Rumah batu, siap dengan pagar dan pintu pagarnya. Bapanya ada banyak dusun. Apabila musin durian, berlori-lori durian di angkutnyake bandar.
Kifli ke rumah Anjang Putih. Anjang Putih duduk berkemban sedang menganyam tikar. Anjang Putih:
“Ke mana kau, Li?”.
Kifli Cuma tersengih saja. Tentu Anjang Putih tahu hajatnya datang ke rumah berlantai buluh itu.
“Tak sekolah kau hari ni, ya?” tanya Anjang Putih lagi sambil jarinya rancak menyelitkan mengkuang ke sana dan ke mari.
“Sekolah!”jawabnya selamba. Ringkas saja. Mudah bunyinya!
“Nak ambil upah panjat kelapa dulu,” jawab Kifli sambil menenyeh-nenyeh betis kanannya dengan ibu jari kaki kirinya.
“Turunkan aku sebiji dua,” kata Anjang Putih sambil menggaru ketiaknya. “Hendak aku buat gulai lemak sikit hari ini.”
Amboi sedapnya kalau dapat makan nasi berlaukkan gulai lemak. Tentu habis nasi sepinggan. Tambah dua pinggan lagi agaknya. Tapi apa yang selalu disajikan oleh emaknya ialah nasi dengan ikan kering. “Disajikan?” salah tu. Dia sendiri yang ambil nasi dan ikan kering sendiri apabila lapar. Itupun kalau nasib baik ada nasi. Selalunya dia makan kerak saja. Kerak pun keraklah, Asalkan perutnya tidak bising.
Dari rumah Anjang Putih Kifli tertanya-tanya sendiri ke arah mana dia mahu pergi. Duit dalam tangan tidaklah berapa sen sangat. Kalau dapat panjat empat lima pokok lagi bolehlah dia belikan beras dan ikan kering yang disutuh oleh emaknya pagi tadi.
Bini cikgu Tahir menggamitnya dari jauh. Kifli memandang keliling. Tidak ada orang lain. Cuma dia. Tentu bini cikgu Tahir yang memanggilnya.
“Nasib baik engkau lalu di sini, Kifli. Tolong turunkan kelapa barang empat biji. Nak buat kuih sikit. Malam nanti kami ada baca doa sikit. Ambil yang tua barang empat biji. Kalau ada yang muda tu, turunkan barang tiga biji. Sedap juga minum air kelapa tengah hari begini.”
Kecur air liur Kifli. Memang sudah lama dia tidak merasakan kuih muih. Kuih pulut serimuka memangnya sedap. Lepat ubi pun tidak kalah. Onde-onde amat digemarinya. Kalau bini cikgu Tahir dapat memberinya sebiji dua kuih malam ini, memang bertuahlah badan dia.
Dengan duit entah berapa sen di tangannya, Kifli berlari-lari ke kedai Haji Samad. Cepat-cepat dia minta pak haji yang beruban di kepalanya itu membungkuskan beras dan ikan kering. Haji Samad memang sudah biasa dengan gelagat Si Kifli, tapi hari itu Kifli macam tergesa-gesamahu cepat, mahu lekas.
“Nak pergi sekolah ni,” kata Kifli tergesa-gesa.
“Dah tengah hari begini baru nak pergi sekolah?” sampuk Haji Samad.
Kata cikgu baru, kalau lambat datang, jangan takut. Bila-bila pun boleh datang sekolah. Dan apabila di sekolah boleh belajar apa juga yang berkenan di hati. Kifli suka buat kira-kira. Dia selalu minta cikgu berikan dia kira-kira. Cikgu tidak marah kalau dia berbincang dengan Jaludin. Tapi Jaludin dungu sikit. Tidak tahu bila nak kali, bila nak tolak. Kifli suka apabila memuji, ‘Kifli pandai’. Hatinya kembang. Dia mahu selalu datang ke sekolah. Dia mahu buat lebih banyak kira-kira. Biar pagi petang siang malam dia buat kira-kira, tidak apa. Dia seronok.
Perut berbunyi, apa peduli. Yang penting mahu serahkan beras dengan ikan kering kepada emaknya, seberapa cepat kakinya dapat berlari. Kemudian mahu cepat-cepat ke sekolah, mesti serahkanikan yang dekat bawah tangga kepada cikgu.
Badannya berpeluh. Basah. Mesti cepat sampai di rumah. Makan belakang kira. Tiba di sekolah boleh minta bekalJapar sikit. Japar selalu bawa lempeng pisang. Kalau Japar tidak bawa lempeng pisang, dia boleh minta pulut kukus dari Zaiton. Zaiton memang pemurah.
Matahari memancar memeritkan belakang tengkuknya. Kaki ayamnya tegang menahan rasa tajam kerikil dan batu dan duri.
Pintu rumahnya ternganga luas. Tiada siapa yang kelihatan. Kifli mencampakkan bungkusan beras dan ikan kering ke rumah. Kemudian dia terbongkok-bongkok ke bawah tangga. Mana ikannya yang telah diisikan dalam balang? Mana ikan itu? Mana balngnya? Mana balangnya yang telah diletakkan di bawah tangga itu?
Nafasnya mengah-mengah. Matanya liar mencari. Yang dilihat Cuma tin-tin kosong bersepah di sana sini. Tidak mungkin balang itu dicuri orang. Dicuri orang? Siapa yang mencurinya? Siapa? Tidak seorang yang tahu tentang balang yang berisi ikan itu. Tidak siapa yang tahu. Tapi, di mana balang itu? Di mana ikan itu?
Tiba-tiba terdengar suara mengomel dari atas rumah. Emaknya memang suka berdengus, merungut tidak tentu fasal. Memang itu kerjanya setiap hari. Merungut, mendengus, merungut, mendungus.
“Emak, ikan Li dekat sini mana?”
Entah apa yang dijawab oleh emaknya, Kifli kurang dengar.
“Ikan Li dekat sini mana mak?”
Muka emaknya tersembul di celah anak tangga.
“Ikan Li dekat sini dah hilang.”
“Ikan?”
“Li nak bagi pada cikgu. Cikgu suruh Li bawa hari ini. Li nak bawa hari ini juga. Mana ikan Li, mak?”
“Ikan Li dekat sini dah hilang.”
“Ikan?”
“Li nak bagi pada cikgu. Cikgu suruh Li bawa hari ini. Li nak bawa hari ini juga. Mana ikan Li, mak?”
Emaknya membetulkan sanggul yang terurai dari simpulnya.
“Buat apa Li nak bagi pada cikgu?”
“Cikgu suruh Li bawa. Li dah janji dengan cikgu nak bawa hari ini.”
“Dah tengah hari ni. Tak payahla ke sekolah.”
“Li nak bawa ikan pada cikgu. Ikan itu untuk cikgu. Untuk meja sains.”
“Dah tengah hari ni.”
“Li dah janji dengan cikgu.”
“Eh merepek budak ni. Sudahlah!”
“Mana ikan Li?”
“Buat lauk lagi baik. Emak dah masakkan.”
Kifli mahu menjerit, tapi suaranya hilang entah ke mana. Tekaknya kering sekering-keringnya. Seluruh badannya berasa kaku, kejang, kelu. Darah yang mengalir terasa sejuk. Dia menelan airliur, kesat. Nafasnya tersekat-sekat. Perlahan-lahan dia berpaling meninggalkan rumahnya. Dia menuju ke arah anak sungai, di belakang sekolah.
*jadikanlah pengajaran yang baik berdasarkan cerpen ini.
-terutama untuk bakal guru dan bakal ibu. kita yang mencorakkan minda kanak-kanak, berilah mereka kehidupan yang sebaiknya.
Friday, August 21, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment