Saturday, September 12, 2009

Cukupkah sekadar pendidikan 3M?

Apakah yang dikategorikan sebagai pendidikan asas? Tentulah bidang ilmunya dan bukan status sekolah tersebut. Maknanya pelajar diberikan ilmu asas bukannya ilmu rendah. Ilmu asas di sekolah rendah boleh sahaja menjadi sangat mustahak, penting dan tinggi nilainya berbanding ilmu di sekolah menengah atau di universiti sekalipun. Penting pada pelajar dan lebih-lebih lagi pada pembangunan negara.
Jika ilmu asas tidak kukuh, maka ilmu lanjutan yang dipelajari di sekolah menengah dan universiti tentunya tidak jelas atau berkualiti tinggi di dalam diri pelajar. Kebetulannya di kebanyakan negara, pendidikan asas dilaksanakan sepenuhnya di sekolah rendah, maka kekeliruan ini berterusan di dalam masyarakat.
Pendidikan asas sebenarnya satu komponen ilmu yang diberikan kepada individu meliputi asas-asas kehidupan sama ada sebagai seorang individu manusia dan sebagai seorang ahli dalam sebuah negara.
Maka itu, pendidikan asas sering kali dikaitkan dengan akronim 3M (membaca, menulis dan mengira).
Sebenarnya pendidikan asas lebih daripada itu kerana pendidikan asas juga meliputi soal pendidikan kesihatan dan penjagaan diri, kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi serta berkaitan dengan pembangunan moral dan agama. Oleh itu apabila pendidikan rendah hanya menekankan soal pendidikan berkonsepkan 3M maka matlamat pendidikan asas gagal dicapai sepenuhnya semasa di sekolah rendah.
Pendidikan asas juga seharusnya tidak melibatkan satu proses pengaliran (streaming) yang rigid. Malah penilaian yang dilakukan kepada pelajar untuk pendidikan asas bukanlah sepatutnya melihat siapa yang paling pandai tetapi tumpuan sepatutnya diberikan untuk setiap pelajar mencapai tahap-tahap yang sepatutnya dicapai sepanjang program pendidikan asas.
Oleh itu, penggredan yang terlalu ketat melalui peperiksaan 'membunuh' potensi pelajar di dalam sistem pendidikan asas. Penilaian sepatutnya mengukur tahap-tahap yang telah dan belum dicapai tanpa membandingkan dengan ahli kumpulan yang lain.
Maka tidak hairanlah ada negara yang menggunakan istilah "sekolah asas" berbanding sekolah rendah. Pendidikan asas adalah satu konsep yang besar dan luar.
Tanpa mengira usia atau ruang, pendidikan asas boleh sahaja bermula sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah, universiti atau di usia tua.
Maka pendidikan untuk orang dewasa juga meliputi aspek ilmu asas. Jika seseorang dewasa ingin mempelajari asas komputer dan teknologi maklumat maka kurikulum pendidikan asas sepatutnya menyediakan peluang pendidikan tersebut, berbanding pendidikan sekolah rendah yang hanya tertumpu kepada kanak-kanak semata-mata.
Justeru itu, ke manakah golongan dewasa yang buta huruf perlu pergi jika mereka ingin belajar? Apakah kita akan menghantar mereka ke sekolah rendah untuk mempelajari pendidikan asas membaca, menulis dan mengira?
Malangnya masyarakat sering melihat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai sangat penting tetapi melihat ujian asas seperti kebolehan membaca, menulis dan mengira atau sebarang peperiksaan untuk pendidikan asas tidak begitu penting.
Malah ujian kebolehan bertutur, membaca, menulis dan mengira dianggap sebagai remeh dan tidak mendapat perhatian sepenuhnya. Jika ditanya berapakah peratus rakyat kita yang benar-benar buta huruf, separa buta huruf atau tahap-tahap kemahiran mengira, sukar untuk dijawab dengan pasti oleh pihak kementerian hatta ahli akademik dalam bidang pendidikan sekalipun.
Media massa juga sangat kurang memberikan perhatian kepada pencapaian pendidikan asas berbanding keputusan peperiksaan di sekolah. Begitu juga guru sekolah rendah dikategorikan sebagai kurang penting berbanding guru sekolah menengah atau pensyarah universiti.
Lihat sahaja kelulusan yang diperlukan untuk menjadi guru sekolah rendah dan gred tangga gaji mereka berbanding guru sekolah menengah atau pensyarah universiti.
Maka itu sistem pendidikan asas perlu dipantau oleh pihak Kementerian Pelajaran agar tidak seorang pelajar pun tercicir daripada mendapat peluang pendidikan asas.
Jika kita tidak membuat persiapan dengan mengemaskan pendidikan asas dikhuatiri akan ada anak-anak yang tertinggal di peringkat sekolah rendah dan akan terus tercicir dalam mendapat peluang pendidikan di peringkat pendidikan yang lebih tinggi.
Di peringkat pendidikan asas, anak-anak ini akan belajar pelbagai perkara, bukan untuk tujuan dinilai di dalam peperiksaan tetapi didedahkan dengan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan. Kemajuan mereka dipantau secara dalaman oleh guru, dilakukan modifikasi tingkah laku dan strategi meningkatkan kognitif jika diperlukan.
Apakah guru kita terlatih untuk melakukan semua itu? Apakah latihan guru mempunyai topik penyelesaian masalah atau hanya sekadar mendedahkan bakal-bakal guru kepada teori-teori psikologi lama pendidikan yang sebahagiannya diragui oleh pakar pendidikan kontemporari?
Maka selepas pendidikan asas, anak-anak ini akan meneruskan pendidikan di peringkat pendidikan menengah dan tinggi.
Di peringkat asas, selain 3M yang menjadi keutamaan, kemahiran interpersonal, agama, nilai moral, jari diri kewarganegaraan, pendidikan kesihatan dan sukan serta keselamatan diri sepatutnya turut dilaksanakan.
Para pelajar juga seharusnya didedahkan kepada alam serta hubungannya dengan kehidupan manusia, seni dan muzik serta sains asas. Semua elemen ilmu asas ini digabung jalin dan tidak seharusnya terlalu terikat mengikut disiplin akademik tetapi satu bentuk kurikulum yang lebih berpusatkan pembangunan pelajar.
Kurikulum juga perlu lebih hidup dan menepati keperluan para pelajar untuk menguasai dan menguruskan kehidupan mereka.
Pakar-pakar kurikulum seharusnya lebih bijak untuk menentukan isi kandungan pelajaran, tahap serta pedagogi yang sesuai untuk melaksanakan pendidikan asas kepada para pelajar. Penggabungan kurikulum secara holistik akan lebih memberikan makna kepada pelajar berbanding sistem pendidikan sekarang yang terlalu terikat kepada disiplin ilmu yang khusus.
Matlamat akhir pendidikan asas ialah jika seorang anak di bandar besar seperti Kuala Lumpur boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, maka perkara yang sama juga boleh dilakukan oleh pelajar di sekolah pedalaman.
Jika anak-anak di Damansara tahu bahawa menjaga gigi itu penting untuk kebersihan diri, perkara yang sama juga perlu diketahui oleh pelajar di Long Pasia atau Long Batu.
Semua ini hanya boleh dilakukan jika pendidikan asas diselia dan dirancang dengan teliti. Guru-guru seharusnya mempunyai garis panduan pembelajaran dan pengajaran dan diberikan peluang untuk membina kurikulum sendiri berasaskan garis panduan tersebut.
Maka kita akan dapat melihat nanti anak-anak di Pulau Langkawi menjalankan pembelajaran mereka berasaskan kehidupan tempatan - suatu tempat yang rapat dengan kehidupan mereka.
Sementara anak-anak di Kuching pula akan juga mempelajari sesuatu yang rapat dengan mereka. Jika mereka belajar tentang pencemaran air, maka setiap anak-anak ini akan berpeluang untuk melihat pencemaran di sungai yang berdekatan. Jika mereka belajar tentang tempat bersejarah, maka mereka berpeluang menyelaminya sendiri di bandar atau daerah mereka.
Anak-anak ini pada peringkat asas belum lagi perlu untuk mempelajari sesuatu yang "jauh" dari mereka. Mereka bukan sahaja belum mengalami perkembangan kognitif yang lengkap sehingga umur mencecah 11 tahun (itulah pandangan umum para pakar teori perkembangan kanak-kanak), malah kurikulum yang di luar lingkungan bukan sahaja sukar tetapi tidak dapat menarik perhatian serta motivasi pembelajaran kanak-kanak.
Albert Einstein pernah berkata: "Jika ditanya pada anda apakah maksud pendidikan? Maka jawablah, pendidikan ialah perkara-perkara yang masih tertinggal di dalam ingatan seseorang apabila beliau sudah melupakan hampir semua perkara yang dipelajari semasa di sekolah dahulu".
Jika diingat-ingat kembali tentunya pembaca boleh bersetuju bahawa sebahagian besar perkara di dalam pendidikan asas bukanlah perkara yang mudah untuk kita lupakan.
Oleh: Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Thursday, September 10, 2009

mY lUvLy NiECe...

...PutRi aLya Erina...
18/8/2008


...Nur AiNa farIEsya....

21/5/2007

11 jenis manusia didoa malaikat

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.
Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.
Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.
Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:
1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."
2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"
3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. "Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?" Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.''

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"
9. Orang yang membelanjakan harta (infak).Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...'"

10. Orang yang sedang makan sahur.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat.
Semoga kita termasuk dan tersenarai sama. InsyaAllah...

Monday, September 7, 2009

Apakah milik kita???

Sawah kita yang punya
padi jadi hak orang
padi di kepuk kita
berasnya diambil orang
nasi di pinggan kita
kenapa dimakan orang?


Laut di negeri kita
bot dimiliki orang
pukat kita yang punya
ikan pulak disesah orang
pengkalan kita yang bina
tapi menjadi laluan orang


Dusun di kebun kita
Tanahnya milik orang
benih kita yang tanam
buahnya dikebas orang
hutan kita yang tebang
kenapa dangau dipunyai orang?


Telaga di laman kita
Timbanya dimiliki orang
Kita jenuh gali telaga
Airnya menjadi hak orang
Kenapa yang elok dapat kat orang
Yang teruk dapat kat kita
Kenapa hak orang tak kena ke kita
Hak kita pun tak dapat ke kita


Lantas kalau nak pujuk hati kita
Kenalah insaf bahawa segalanya
Bukanlah hak mutlak sesiapa jua
Kerana dunia ini sebenarnya...
Adalah persinggahan sementara
Menjalani ujian Allah Yang Maha Esa!

Friday, September 4, 2009

Memartabatkan pantun

Dalam semak ada kebun,
Dalam kebun ada bunga;
Dalam gelak ada pantun,
Dalam pantun ada makna.

Pantun kian terpinggir dan semakin dilupakan. Puisi Melayu dan lambang jati diri bangsa seakan hanyut ditelan kemajuan. Mengapa jadi begitu??
"Tak perlu menyalahkan sesiapa, tanyala diri sendiri..."
Akibat salah faham terhadap pantun, ramai yang mengambil mudah peranan pembayang. Pembayang, mestilah logik dan peka dengan alam sekitar. Tidak boleh sembarangan atau setakat untuk memberi akhiran rima yang sama.

Pantun yang baik mempunyai perhubungan atau perkaitan antara pembayang dan maksud.
Kekuatan pantun terletak pada permainan bunyi.
Bunyi tersebut menimbulkan keindahan bahasa dan maksud tanpa mengira jenis pantun itu.
Terdapat pelbagai jenis pantun;
antaranya pantun dua kerat, empat kerat, lapan kerat dan 14 kerat.
namun, pantun empat kerat yang paling popular daripada dulu sehingga kini...
tips-cubalah bina baris-baris pantun yang datang daripada ketulusan hati...hehe

Friday, August 21, 2009

Cerpen

KIFLI-Anis Utopia

KIFLI sudah tidak gentar lagi dengan herdik emaknya.
Dia mengerang, dan tengkingan emaknya datang segera. Telinganya sudah lali dengan tengkingan perempuan itu. Biar dia tengking sepuluh kali, dua puluh kali, atau tiga puluh kali, tapi Kifli tidak akan merasakan kesannya tengkingan itu lagi. Tengkingan itu sudah menjadi tepukan dan belaian baginya.
Kifli menarik lututnya rapat di dada. Matanya dipejam erat-erat. Apa guna bangun pagi-pagi? Bukan ada sarapan apa-apa. Tidak ada ubi rebus. Tidak ada pulut kukus.
Kata Zaiton, anak polis sarjan yang berambut kerinting dan bergigi halus itu, dia makan roti canai cecah sambal tumis. Meleleh air liurnya apabila Zaiton menceritakan dia makan dengan lahapnya beberapa pagi dulu.
Kalau dia bangun sekarang, roti canai, jemput-jemput dan lempeng pun tidak ada. Untuk apa bangun awal-awal kalau hanya untuk menanggung perut yang menderita kelaparan? Ah, mengarut. Bodoh kalau mahu bangun pagi-pagi dan kemudian mmendengar perutnya menyanyi minta diisi. Baik tidur lagi, sedap-sedap, lagi bagus. Emak tidak menengking lagi. Dia merasakan telinganya bingar sedikit-sedikit. Tapi itu perkara biasa. Sekejap lagi akan hilanglah rasa sakitnya itu. Apabila dibawa berenang di anak sungai itu nanti, tentu tidak akan rasa bingar lagi. Esok? Esok lain cerita.
Kifli tersengih. Memang seronok berenang dengan kawan-kawan. Kena pula waktu tengah hari. Aduh sedapnya. Panas-penas begitu memang sedap kalau tanggal baju, tanggal seluar dan terus terjun ke air kuning keruh itu. Apabila menyelam, cari kaki Sulung, kemudian tarik.sulung terkapar-kapar. Memang Sulung selalu terkena.
Terbeliak mata kifli. Dia mesti cepat bangun dan cepat ke sekolah. Dia mengangkat badannya dan terus terduduk. Ikan yang ditangguknya di sawah Ngah Bakar mahu dihantarnya segera ke sekolah.
Ngah Bakar langsung tidak kata apa-apa apabila ternampak dia menengok tangguknya. Mula-mula cemas juga dia apabila ternampak Ngah Bakar yang bermisai tanduk kerbau itu menghampirinya. Selalunya dia tangguk ikan untuk di buat lauk. Tapi semalam dia tangguk ikan untuk dibawa ke sekolah.
Berdebar-debar juga dia apabila Ngah Bakar menanyakan kalau-kalau dia dapat ikan. Janganlah tanya apa-apa lagi, minta hatinya.
Tentu Ngah Bakar mengamuk jika diketahuinya yang dia hendak membawa ikan itu ke sekolah. Kata cikgu, dia mesti bawa ikan ke sekolah sebab rumahnya dekat dengan sawah. Sulung bawa benih jagung sebab emaknya ada tanam jagung barang suku ekar. Zaiton pula berjanji mahu bawa gambar-gambar burung sebab dia ada banyak majalah bergambar burung.
Kifli mengenakan butang seluarnya. Dua biji butang sudah tertanggal, tetapi cikgu tidak marah. Kata cikgu, kalau nak datang sekolah, datanglah untuk belajar.
Dia bukan tidak mahu belajar. Mahu. Tapi dia segan dengan kawan-kawan lain. Dia orang datang dengan baju putih, seluar biru. Cuma dia, Sulung , Tamin, Japar dan Jaludin yang berpakaian serembah-serembih. Sulung dengan gigi kuningnya dan rambut kering macam lalang kena racun. Tamin dengan seluar besar labuhnya yang diwarisi; entah berapa zaman. Japar berkaki ayam dengan kuku panjang hitam berdaki dan seluar yang bertampal-tampal. Dan Jaludin yang berbau hapak dengan baju yang tidak menentu warnanya lagi.
Tapi cikgu lansung tidak marah dia dengan baju panas hijau yang sudah luntur warna berserta dengan seluar tertanggal dua butang apabila dia datang ke kelas.
Cikgu baru ini tidak suruh pun dia beli baju kemeja putih dan seluar biru untuk ke sekolah. Cikgu-cikgu dulu naik mual menyuruhnya membeli baju baru dan seluar baru. Mahu sarapan pagi pun tak mampu, apalagi mahu beli pakaian sekolah.
Apabila cikgu marah-marah lalu menyuruhnya memberitahu bapanya supaya belikan baju sekolah, dia pun tidak datang ke sekolah empat lima hari. Dia takut pergi sekolah. Takut selalu kena tengking, kena caci. Malu dibuat begitu.
Tapi cikgu baru ini tidak macam cikgu-cikgu dulu. Dua hari selepas Sulung memberitahunya ada cikgu baru mengajar di kelasnya, dia pun ingin benar hendak melihat wajah cigu baru itu. Biasanya cikgu-cikgu memang tidak kekal mengajar di kelasnya. Jaludin dengan Japar selalu bertumbuk. Sulung dengan entah berapa orang lagi sehuruf pun tidak kenal. Tamin pula dengan kesukaan menyakat budak-budak perempuan yang tekun tunduk menulis.
Dia datang apabila matahari dah tegak. Mula-mula dia terhendap-hendap di pintu, mahu intai cikgu baru. Jaludin pula nampak dan meneriaknya, suruh masuk. Cikgu baru itu sudah menoleh. Kakinya tidak boleh lari. Cikgu itu menanyakan sesuatu pada Jaludin, kemudian Jaludin memanggilnya masuk.
“Marilah masuk.”
Langsung tidak ada tanda marah pada suara cikgu itu. Dan kata cikgu lagi, dia sedang mengajar nyanyian dan sekejap lagi mahu diajaknya budak-budak kelas itu duduk-duduk menyanyi di bawah pokok kelapa sawit di tepi padang sekolah.
Dia terkelip-kelip masuk ke kelas. Segan ada, malu pun ada.
“Duduklah barang di mana yang Kifli suka. Ha, duduk.”
Kenapa cikgu tidak marah, kerana selama ini dia tidak hadir ke kelas? Marah pun tidak. Kenapa? Ada denda lain agaknya? Kifli mengelamun sendirian.
Dia tengok keliling. Macam-macam gambar terbentang di dinding. Cantik-cantik. Menarik lukisan Japar, dia pernah kata begitu, kini sudah pun diletakkan ke dinding, pun ada di situ. Bukan main megah lagi Japar apabila dia menceritakan yang cikgu memilih lukisannya gambar sawah padi yang terbentang menjadi hiasan dinding. Japar bukannya pandai melukis sangat. Conteng-conteng saja.
Biasanya lukisan Zaiton dan Fatimah dan Rokiah yang selalu dilekatkan di dinding. Budak-budak perempuan itu memang cermat apabila melukis.
Agaknya cikgu baru ini memang tidak pandai marah, Japar dengan Jaludin bertumbuk pun dia tidak marah. Dia Cuma tanya baik-baik kenapa mereka bertumbuk. Kemudian entah macam mana dia bercerita fasal Muhammad Ali yang jadi juara tinju itu. Seronok juga dengar kisah macam mana Muhammad Ali jadi juara tinju. Masa Muhammad Ali lawan dengan entah siapa nama orang putih itu dulu, dia sama-sama Sulung. Jaludin dan Seman menumpang tengok tv di kedai dekat pekan. Dapat tengok celah-celah pintu pun cukuplah.
Japar dengan Jaludin melopong mendengar cerita cikgu. Kisah bertumbuk pun hilang. Kalau dulu, tentu Japar dengan Jaludin kena sebat dengan rotan. Pedih punggung apabila kena sebat berkali-kali.
Belum sempat dia hendak melompat turun ke tanah, rambutnya di tarik dari belakang.
“Jangan tahu nak berambus saja. Pergi ambil upah panjat kelapa dulu. Upahnya belikan beras dengan ikan kering.”
Benci benar dia mendengar suara kejang kaku menengking herdik itu. Tidak macam suara cikgu yang lembut itu.
Rasanya mahu dia menentang perempuan yang dipanggilnya emak itu. Tapi dia ingat benar apa kata cikgu yang baru itu. Kita mesti sayang pada emak. Mesti menghormati emak. Mesti jaga hati emak. Tidak boleh tengking emak. Tidak boleh lawan emak. Kerana emaklah kita boleh menengok dunia yang indah ini.
Mula-mula dia mahu ketawakan apa yang dikatakan oleh cikgu. Tapi terlihat muka cikgu, dia tidak jadi ketawa. Tapi macam mana hendak sayangkan emak kalau emak paksa dia bangun pagi-pagi ambil upah panjat kelapa? Dia lapar. Dia mahu makan. Makan roti canai, kalau boleh. Kalau tidak ada roti canai, kuih jemput-jemput pun jadilah.
“Kifli, kau jangan merayau ke lain tempat. Buat apa yang aku suruh, tahu?” inunya membentak.
Ah, bosan betul dia mendengar suara itu. Kalaulah suara itu boelh bertukar menjadi lemah-lembut, bukankah lebih baik? Fikir si Kifli.
Kifli berjalan sambil menyepak-nyepak sampah. Kaki ayamnya mula bersalut dengan lumpur. Tapi tidak dipedulikannya kerana sudah jadi perkara biasa. Memang kakinya sentiasa bersalaut dengan lumur, lalang kering, air sungai dan macam-macam lagi yang menyinggah di kakinya semasa berjalan.
Dan cikgu tidak marah apabila tengok kakinya dalam keadaan begitu. Paling tidak cikgu cuma menyuruh dia membasuhnya di anak sungai di belakang sekolah. Tapi apabila dah ditenyeh-tenyeh kaki itu jadi bersih, kaki itu akan kotor semula dengan lumpur apabila dia kembali dari sekolah.
Kadang-kadang dia berasa malu dengan kekotoran di badannya. Dia mahu bersih macam Zaiton, macam Rokiah. Tapi Rokiah duduk di rumah berek, bapanya sarjan polis. Rumah Rokiah pun besar juga. Rumah batu, siap dengan pagar dan pintu pagarnya. Bapanya ada banyak dusun. Apabila musin durian, berlori-lori durian di angkutnyake bandar.
Kifli ke rumah Anjang Putih. Anjang Putih duduk berkemban sedang menganyam tikar. Anjang Putih:
“Ke mana kau, Li?”.
Kifli Cuma tersengih saja. Tentu Anjang Putih tahu hajatnya datang ke rumah berlantai buluh itu.
“Tak sekolah kau hari ni, ya?” tanya Anjang Putih lagi sambil jarinya rancak menyelitkan mengkuang ke sana dan ke mari.
“Sekolah!”jawabnya selamba. Ringkas saja. Mudah bunyinya!
“Nak ambil upah panjat kelapa dulu,” jawab Kifli sambil menenyeh-nenyeh betis kanannya dengan ibu jari kaki kirinya.
“Turunkan aku sebiji dua,” kata Anjang Putih sambil menggaru ketiaknya. “Hendak aku buat gulai lemak sikit hari ini.”
Amboi sedapnya kalau dapat makan nasi berlaukkan gulai lemak. Tentu habis nasi sepinggan. Tambah dua pinggan lagi agaknya. Tapi apa yang selalu disajikan oleh emaknya ialah nasi dengan ikan kering. “Disajikan?” salah tu. Dia sendiri yang ambil nasi dan ikan kering sendiri apabila lapar. Itupun kalau nasib baik ada nasi. Selalunya dia makan kerak saja. Kerak pun keraklah, Asalkan perutnya tidak bising.
Dari rumah Anjang Putih Kifli tertanya-tanya sendiri ke arah mana dia mahu pergi. Duit dalam tangan tidaklah berapa sen sangat. Kalau dapat panjat empat lima pokok lagi bolehlah dia belikan beras dan ikan kering yang disutuh oleh emaknya pagi tadi.
Bini cikgu Tahir menggamitnya dari jauh. Kifli memandang keliling. Tidak ada orang lain. Cuma dia. Tentu bini cikgu Tahir yang memanggilnya.
“Nasib baik engkau lalu di sini, Kifli. Tolong turunkan kelapa barang empat biji. Nak buat kuih sikit. Malam nanti kami ada baca doa sikit. Ambil yang tua barang empat biji. Kalau ada yang muda tu, turunkan barang tiga biji. Sedap juga minum air kelapa tengah hari begini.”
Kecur air liur Kifli. Memang sudah lama dia tidak merasakan kuih muih. Kuih pulut serimuka memangnya sedap. Lepat ubi pun tidak kalah. Onde-onde amat digemarinya. Kalau bini cikgu Tahir dapat memberinya sebiji dua kuih malam ini, memang bertuahlah badan dia.
Dengan duit entah berapa sen di tangannya, Kifli berlari-lari ke kedai Haji Samad. Cepat-cepat dia minta pak haji yang beruban di kepalanya itu membungkuskan beras dan ikan kering. Haji Samad memang sudah biasa dengan gelagat Si Kifli, tapi hari itu Kifli macam tergesa-gesamahu cepat, mahu lekas.
“Nak pergi sekolah ni,” kata Kifli tergesa-gesa.
“Dah tengah hari begini baru nak pergi sekolah?” sampuk Haji Samad.
Kata cikgu baru, kalau lambat datang, jangan takut. Bila-bila pun boleh datang sekolah. Dan apabila di sekolah boleh belajar apa juga yang berkenan di hati. Kifli suka buat kira-kira. Dia selalu minta cikgu berikan dia kira-kira. Cikgu tidak marah kalau dia berbincang dengan Jaludin. Tapi Jaludin dungu sikit. Tidak tahu bila nak kali, bila nak tolak. Kifli suka apabila memuji, ‘Kifli pandai’. Hatinya kembang. Dia mahu selalu datang ke sekolah. Dia mahu buat lebih banyak kira-kira. Biar pagi petang siang malam dia buat kira-kira, tidak apa. Dia seronok.
Perut berbunyi, apa peduli. Yang penting mahu serahkan beras dengan ikan kering kepada emaknya, seberapa cepat kakinya dapat berlari. Kemudian mahu cepat-cepat ke sekolah, mesti serahkanikan yang dekat bawah tangga kepada cikgu.
Badannya berpeluh. Basah. Mesti cepat sampai di rumah. Makan belakang kira. Tiba di sekolah boleh minta bekalJapar sikit. Japar selalu bawa lempeng pisang. Kalau Japar tidak bawa lempeng pisang, dia boleh minta pulut kukus dari Zaiton. Zaiton memang pemurah.
Matahari memancar memeritkan belakang tengkuknya. Kaki ayamnya tegang menahan rasa tajam kerikil dan batu dan duri.
Pintu rumahnya ternganga luas. Tiada siapa yang kelihatan. Kifli mencampakkan bungkusan beras dan ikan kering ke rumah. Kemudian dia terbongkok-bongkok ke bawah tangga. Mana ikannya yang telah diisikan dalam balang? Mana ikan itu? Mana balngnya? Mana balangnya yang telah diletakkan di bawah tangga itu?
Nafasnya mengah-mengah. Matanya liar mencari. Yang dilihat Cuma tin-tin kosong bersepah di sana sini. Tidak mungkin balang itu dicuri orang. Dicuri orang? Siapa yang mencurinya? Siapa? Tidak seorang yang tahu tentang balang yang berisi ikan itu. Tidak siapa yang tahu. Tapi, di mana balang itu? Di mana ikan itu?
Tiba-tiba terdengar suara mengomel dari atas rumah. Emaknya memang suka berdengus, merungut tidak tentu fasal. Memang itu kerjanya setiap hari. Merungut, mendengus, merungut, mendungus.
“Emak, ikan Li dekat sini mana?”
Entah apa yang dijawab oleh emaknya, Kifli kurang dengar.
“Ikan Li dekat sini mana mak?”
Muka emaknya tersembul di celah anak tangga.
“Ikan Li dekat sini dah hilang.”
“Ikan?”
“Li nak bagi pada cikgu. Cikgu suruh Li bawa hari ini. Li nak bawa hari ini juga. Mana ikan Li, mak?”
“Ikan Li dekat sini dah hilang.”
“Ikan?”
“Li nak bagi pada cikgu. Cikgu suruh Li bawa hari ini. Li nak bawa hari ini juga. Mana ikan Li, mak?”
Emaknya membetulkan sanggul yang terurai dari simpulnya.
“Buat apa Li nak bagi pada cikgu?”
“Cikgu suruh Li bawa. Li dah janji dengan cikgu nak bawa hari ini.”
“Dah tengah hari ni. Tak payahla ke sekolah.”
“Li nak bawa ikan pada cikgu. Ikan itu untuk cikgu. Untuk meja sains.”
“Dah tengah hari ni.”
“Li dah janji dengan cikgu.”
“Eh merepek budak ni. Sudahlah!”
“Mana ikan Li?”
“Buat lauk lagi baik. Emak dah masakkan.”
Kifli mahu menjerit, tapi suaranya hilang entah ke mana. Tekaknya kering sekering-keringnya. Seluruh badannya berasa kaku, kejang, kelu. Darah yang mengalir terasa sejuk. Dia menelan airliur, kesat. Nafasnya tersekat-sekat. Perlahan-lahan dia berpaling meninggalkan rumahnya. Dia menuju ke arah anak sungai, di belakang sekolah.

*jadikanlah pengajaran yang baik berdasarkan cerpen ini.
-terutama untuk bakal guru dan bakal ibu. kita yang mencorakkan minda kanak-kanak, berilah mereka kehidupan yang sebaiknya.

Thursday, August 20, 2009

WaniTa dAn AirmAtA

Mengapa wanita Suka Menangiss...dia tidak mengerti???? Sikit2 menangis, dimarah sikit menangis, diberikan hadiah menangis, berlaku hal sedih menangiss...Dan jawapan yg boleh dberikan ialah...wanita itu sendiri tidak dapat memahami mengapa dia perlu menangis......

kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian yang dikenakannya, susuk tubuh yang ditampilkan, atau bagaimana dia menyisir rambutnya "Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya, kerana itulah pintu hatinya, tempat dimana cinta itu ada..."

Apabila ibu dan ayahnya menyambut panggilan Ilahi..... Semua wanita akn mengalirkan air mata mereka. bukan sehari, bukan seminggu, bukan sebulan, malah bertahun lamanya... ibu dan ayh merupakan hubungan istimewa yg Allah berikan...hargailah sepenuhnya selagi kita masih ada mereka…

Apabila ditinggalkan kekasihnya.....Wanita itu menangis krn cintanya telah didusta. dia menangis krn hati kekasihnya telah berubah...dia menangis krn cintanya yg ikhlas telah dipermainkan....Apabila dirinya di ijab dan kabul...Wanita itu menangis kerana dirinya akn meninggalkan ibu bapanya. Dia menangis kerana dirinya akn diserahkan kepada lelaki yg dicintainya. Dan kerana masa depan yang belum diketahuinya lagi...

Apabila suaminya dilanda musibah....Wanita itu menangis didalam hatinya. tidak didepan suaminya krn hatinya pilu melihat kemurungan suami dan hatinya luka melihat suaminya perlu bekerja keras demi keluarga....

Air mata wanita melambangkan perasaannya...apabila dia menangis, itulah perasaanya yg ikhlas tatkala itu..air mata tidak berbohong. Seorang wanita itu tidak akn menangis jika hatinya tidak terluka atau tersentuh akan sesuatu hal. Air mata akan berguguran seiring dengan perasaannya... Titisan air mata wanita itu melambangkan Keikhlasan, Kejujuran, Kesedihan, Kegembiraan, Kepasrahan, Ketakutan, Kejujuran, Kecurangan, Pendustaan, Kepercayaan, Kesetiaan, Kekuatan, Kesucian dan pelbagai macam perasaan yang tersimpan...

Mengapa harus ada air mata???? Semua wanita memang menangis tanpa ada alasan yg munasabah..., sebenarnya airmata wanita adalah

AIR MATA KEHIDUPAN.....Air mata kekuatan, untuk melahirkan bayi dari rahimnya. Airmata kehangatan bagi bayi dalam dakapan lembutnya. Airmata yang peka dan kasih untuk mencintai dan merawat semua anak dan keluarga, dalam kaadaan apapun, dan dalam situasi bagaimanapun. Walau letih, walau sakit, walau lelah, tanpa mengeluh. Padahal tak jarang orang-orang yang dicintai itu menyakiti perasaan dan melukai hatinya.

Air mata ketabahan, atas kesedarhanaan hidup namun tak membuatnya terasing dalam pergaulan. Apalagi sampai mengurangi husnuzhannya terhadap Allah. Airmata ketegaran, saat rumah tangga melewati masa-masa pancaroba, atau hampir karam oleh badai cubaan. Seperti tangisan bahagia Khansa’ atas wafatnya suami dan tiga putera tercinta di medan jihad, syahid demi membela kekasih sejati: Muhammad SAW. Itulah airmata keperkasaan, pantang menyerah saat melalui masa-masa sulit. Kesusahan dan ujian itu membentuk kepribadian yang kuat dan teguh.Air mata kesucian, sebagaimana tangisan Aisyah ra ketika dituduh berselingkuh oleh kaum munafik. Sehingga menimbulkan percakapan negatif dikalangan umat Islam bahkan Rasul pun hampir terpengaruh. Tapi Allah maha tahu.

Airmata kesucian itu dikukuhkan kebenarannya oleh al-Qur’an.Air mata yang bersumber dari mata air kehalusan perasaan ketika bersentuhan dengan hal-hal yang mengusik hati nurani. Tangisannya bukan karena kelemahan tapi menunjukkan betapa halus dan lembutnya perasaan yang ia miliki. Wanita berfikir dengan hati dan merasa dengan fikirannya....

Sesungguhnya... wanita dan air mata memang tidak dapat dipisahkan... tetapi wahai kaum hawa, menangislah utk perkara yg membawa kebaikan kepadamu. jgn lah menangis utk perkara yg akan menambahkan lagi kedukaanmu... menangislah jika rasa ingin menangis...walau seteguh mana pun jiwa mu itu, air mata tetap akan menjadi temanmu sama ada dihadapan sahabat, keluarga atau dibelakang mereka...air matamu pasti akn berguguran jua....